POLISI & ETIKA NOVA BABYLON SDN BHD

Kod Etika Nova Babylon Sdn Bhd merupakan satu garis panduan yang dibuat oleh pihak syarikat untuk memastikan pengedar memahami konsep, misi dan visi. Ia juga merupakan bahan rujukan bagi memudahkan pengedar menjalankan urusniaga / transaksi dengan betul mengikut etika serta peraturan yang ditetapkan oleh Akta Jualan Langsung (AJL) 1993. Selain daripada melindungi kepentingan kedua-dua pihak Kod Etika ini juga bertindak sebagai ikrar terhadap tanggungjawab, kewajipan dan hak kedua-dua pihak. Kegagalan untuk mematuhi mana-mana peruntukan dalam Kod Etika Nova Babylon Sdn Bhd ini akan mengakibatkan penamatan Hak Keahlian, kehilangan Hak Pengedar untuk memperolehi faedah-faedah dan insentif-insentif yang disediakan di bawah Pelan Pemasaran Nova Babylon Sdn Bhd dan/atau sebarang tindakan yang wajar oleh syarikat.

Keahlian

1. Pemohon mestilah berusia LAPAN BELAS (18) tahun ke atas dan dengan syarat pemohon ditaja oleh seorang Pengedar berdaftar yang sah.

2. Pemohon dikehendaki melengkapkan ’Borang Keahlian’ dan membayar yuran keahlian sebanyak RM48.00 (Semenanjung Malaysia) atau RM58.00 (Sabah/Sarawak). Pemohon bertanggungjawab sepenuhnya memastikan maklumat yang dinyatakan adalah tidak palsu, tidak mengelirukan dan tepat.

3. Permohonan yang telah lengkap diisi dalam ’Borang Keahlian’ boleh didaftarkan secara terus menggunakan Sistem Atas Talian (Online System) Nova Babylon Sdn Bhd sama ada melalui Syarikat, Stokis atau E-Mobile atau pengedar yang dilantik oleh Syarikat.

4. Setelah mendaftar, ahli akan dibekalkan dengan sebuah Kit Jualan Nova Babylon Sdn Bhd dan Kad Keahlian.

5. Salinan asal Borang Keahlian yang telah lengkap diisi dan didaftarkan hendaklah dihantar terus kepada pihak Syarikat.

6. Syarikat berhak sepenuhnya meluluskan atau menolak sebarang permohonan pendaftaran keahlian tanpa memberikan sebarang penjelasan.

7. Seorang Pengedar tidak berhak memegang lebih dari SATU (1) Hak Keahlian pada satu-satu masa. Jika berlaku, Hak Keahlian yang pertama dianggap sah. Selebihnya akan dianggap terbatal dan tidak sah serta akan ditamatkan oleh Syarikat tanpa sebarang notis.

8. Syarikat berkuasa dan berhak sepenuhnya menerbitkan nama dan butiran berkaitan Pengedar atau gambarnya, artikel mengenai Pengedar tersebut, testimonial Pengedar tersebut atau butiran lain yang dirasakan wajar oleh Syarikat di dalam media cetak, elektronik atau sebarang media Syarikat untuk tujuan pengiklanan, pengisytiharan, pengumuman atau untuk kepentingan Syarikat tanpa kelulusan, notis atau kebenaran awal daripada Pengedar. Hak-hak tersebut kekal dan wujud walaupun tamat Hak Keahliannya. Hak cipta mana-mana bahan tersebut terletak dan kekal sepenuhnya kepada Syarikat pada setiap masa dan Syarikat berhak menerbitkan bahan yang sama pada bila-bila masa yang dirasakan wajar tanpa sebarang tuntutan, rintangan atau halangan daripada Pengedar.


Penajaan

1. Pengedar digalakkan untuk menaja seberapa ramai ahli baru tertakluk kepada syarat- syarat keahlian serta Pelan Pemasaran Nova Babylon Sdn Bhd yang ditetapkan oleh Syarikat dan menurut peruntukan Akta Jualan Langsung 1993 dan sebarang pindaannya.

2. Seorang Pengedar hanya dibenarkan mempunyai SATU (1) penaja dalam tempoh Hak Keahliannya.

3. Pengedar tidak dibenarkan untuk memaksa, mengancam, memeras ugut atau memberikan maklumat palsu yang boleh mengelirukan Bakal Pengedar dalam mana-mana majlis penerangan atau secara bersendirian.

4. Pengedar tidak dibenarkan untuk menaja mana-mana individu/organisasi/persatuan yang sudah menjadi ahli sama ada dari kumpulan sendiri atau kumpulan lain.

5. Seseorang individu/organisasi/persatuan yang bakal menjadi ahli berhak memilih penajanya dan individu/organisasi/persatuan yang telah menjadi ahli secara rasmi tidak dibenarkan menukar penajanya.

6. Seorang Pengedar mesti memberi bimbingan yang berkaitan dan latihan yang sewajarnya kepada pengedar baru tajaannya setelah disahkan penerimaannya dan mendapat kelulusan daripada Syarikat.

Hak Keahlian

1. Hak Keahlian yang aktif adalah seumur hidup. Pengedar yang membuat transaksi pembelian/jualan/penajaan secara berterusan dianggap aktif.

2. Sekiranya pengedar tidak membuat sebarang transaksi pembelian/jualan/penajaan selama tempoh DUA BELAS (12) bulan, Hak Keahlian pengedar tersebut dianggap tidak aktif dan Hak Keahlian pengedar tersebut akan luput secara automatik.

3. Walau bagaimanapun, sebelum pelupusan Hak Keahlian dilakukan pihak syarikat akan memberikan surat peringatan kepada setiap pengedar yang tidak aktif selama TIGA (3) bulan berturut-turut.

4. Sekiranya pengedar tersebut membuat transaksi pembelian/ penjualan/ penajaan dalam tempoh sebelum DUA BELAS (12) bulan, maka Hak Keahlian pengedar tersebut dianggap kembali aktif.

5. Sekiranya pengedar tersebut tidak memberi maklum balas kepada pihak syarikat, maka secara automatik Hak Keahliannya luput. Pengedar tersebut boleh mendaftar semula menjadi ahli baru dibawah mana-mana penaja baru yang dipilihnya.

6. Pengedar yang ingin menamatkan Hak Keahliannya secara sukarela boleh berbuat demikian dengan mengemukakan surat Permohonan Penamatan Hak Keahlian secara bertulis kepada pihak Syarikat. Jika pengedar tersebut berminat untuk menjadi ahli semula, beliau perlu melalui tempoh bertenang selama ENAM (6) bulan sebelum mendaftar semula.

7. Pihak Syarikat boleh menamatkan Hak Keahlian seseorang pengedar sekiranya didapati melanggar undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Akta Jualan Langsung (AJL) 1993 atau melanggar etika serta memburukkan imej syarikat dengan apa cara sekalipun.

8. Sebaik sahaja penamatan Hak Keahliannya, rakan kongsi yang ditajanya akan terus naik kepada penaja atasannya.

9. Jika berlaku kematian atau ketidaksiuman ke atas seseorang pengedar, keahliannya yang termaktub dalam Hak Keahlian boleh dipindahkan kepada pewarisnya seperti yang tercatat di dalam Borang Permohonan keahlian atau mengikut hukum syarak atau undang-undang negara.

10. Hak Keahlian seseorang pengedar tidak boleh dipindahmilik, dijual atau diserahkan kepada orang lain sebelum mendapat kebenaran bertulis daripada Syarikat dan pihak Syarikat berhak untuk menolak permohonan berkenaan tanpa memberikan sebarang alasan.

Penamatan hak Keahlian

1. Jika seseorang pengedar ingin menamatkan hak keahliannya,beliau dikehendaki menulis surat ke pihak Syarikat Nova Babylon Sdn Bhd. Tarikh penamatan ialah tarikh dimana syarikat menerima permintaannya untuk menamatkan hak keahliannya. Pengedar yang menamatkan hak keahliannya akan kehilangan segala haknya ke atas segala jualan dan orang bawahan yang telah ditajanya.

2. Apabila seseorang pengedar mendaftar atas nama isteri/suami dan yang aktif adalah isteri/suami yang tidak didaftarkan, sekiranya menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan dan melanggar kod etika, peraturan dan tatacara Syarikat Nova Babylon Sdn Bhd, nama isteri/ suami yang didaftarkan akan ditamatkan.

Aktiviti Larangan

Dibawah adalah senarai aktiviti-aktiviti yang dilarang yang boleh mengakibatkan penamatan hak keahlian:

1. Penyebaran kenyataan yang salah tentang penggunaan dan kelebihan barangan Nova Babylon Sdn Bhd serta keuntungan yang boleh diperolehi.

2. Melibatkan diri dalam apa jua skim,rancangan atau sebagainya untuk mematahkan semangat Pengedar Nova Babylon Sdn Bhd yang lain dari membeli barangan Nova Babylon Sdn Bhd dengan tujuan hendak menaja semula pengedar tersebut.

3. Melibatkan diri dalam aktiviti menjemput seseorang pengedar untuk menjual barangan lain dengan / atau melalui rancangan pemasaran berbilang tingkat yang lain atau cuba membina atau mewujudkan perniagaan yang boleh memberi kesan buruk kepada pengedar yang lain,kumpulannya atau Syarikat Nova Babylon Sdn Bhd.

4. Mengamalkan ataupun sengaja mengajar pengedar-pengedar lain untuk menggunakan cara-cara lain yang tidak etika,tidak sah,tidak betul atau melanggar undang-undang dalam menjalankan perniagaan Nova Babylon Sdn Bhd.

5. Melibatkan diri dalam aktiviti dengan niat untuk menipu syarikat atau menahan pengedar lain dari menikmati faedah,termasuk tetapi tidak terhad kepada pemintasan pengedaran dan/ atau jualan.

6. Untuk pengedar yang didapati melibatkan diri secara aktif dalam Syarikat Jualan Langsung yang lain.

7. Pengedar dilarang mengimport, mengeksport ,memperoleh mencari produk sama ada secara langsung atau tidak langsung dari mana-mana tempat dan/atau dalam sebarang bentuk untuk tujuan menjual,mengedar,memasarkan dan/atau mempromosikan produk yang tidak dibekalkan oleh Syarikat Nova Babylon Sdn Bhd dan/atau produk yang bukan di bawah tanggungjawab Syarikat Nova Babylon Sdn Bhd.

8. Pengedar dilarang mewakili,mempromosi,mengedar dan/atau menjual untuk mana- mana pihak termasuk dan tidak terhad kepada pengedar dan pelanggan atau perkhi matan yang bukan dimiliki oleh Syarikat Nova Babylon Sdn Bhd dengan anggapan ia adalah produk atau perkhidmatan Nova Babylon Sdn Bhd.

9. Pengedar Nova Babylon Sdn Bhd dengan pangkat Crown Diamond Entrepreneur dan ke atas bersesuaian dengan Pelan Pemasaran Nova Babylon sdn.bhd adalah dilarang untuk menjadi dan/atau memegang keahlian dan/atau hak keahlian dan/atau mengambil bahagian dalam aktiviti perniagaan syarikat lain yang menjalankan perniagaan yang sama dengan Nova Babylon Sdn Bhd.

10. Bagi Pengedar dengan pangkat Crown Diamond Entrepreneur dan ke atas yang telah menyalahi peruntukan dalam kod etika, peraturan dan tatacara di atas akan menye- babkan hak pengedarannya ditamatkan oleh Nova Babylon Sdn Bhd. Jika seseorang pengedar didapati telah menyalahi peruntukan tersebut, Nova Babylon Sdn Bhd berhak untuk menyiasat dan mengambil tindakan tertentu termasuk mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada pengedar tersebut berdasarkan prosedur di bawah :-

i. Pengedar mesti membalas secara bertulis dalam tempoh 10 hari apabila menerima notis tunjuk sebab dari Nova Babylon Sdn Bhd. Jika berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pengedar dan pengedar ingin meneruskan perniagaannya di Nova Babylon Sdn Bhd, pengedar tersebut diwajibkan untuk menegaskan hasratnya dengan membuat Pengakuan Berkanun berdasarkan format yang diluluskan dan/atau diberikan oleh Nova Babylon Sdn Bhd dengan menyatakan bahawa beliau tidak akan terlibat dan/atau mengambil bahagian dalam aktiviti perniagaan di syarikat lain di mana sifat perniagaannya menyerupai Nova Babylon Sdn Bhd. Jika pengedar gagal membalas notis tunjuk sebab dan/atau format yang diterima oleh Nova Babylon Sdn Bhd maka dalam keadaan ini,pihak Syarikat berhak mengambil tindakan lanjutan berdasarkan kepada kod etika, peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan Syarikat Nova Babylon Sdn Bhd termasuk menamatkan hak keahlian pengedar tersebut.

ii. Jika pengedar tersebut tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat oleh Syarikat dan/atau pertikaian bahawa beliau telah menyalahi kod etika, peraturan dan tatacara Nova Babylon Sdn Bhd seperti yang dinyatakan dalam surat tunjuk sebab, pengedar tersebut boleh membuat rayuan kepada Nova Babylon Sdn Bhd dalam tempoh 14 hari bermula dari tarikh pengedar menerima notis yang menyatakan pengedar bahawa penamatan hak keahliannya di Nova Babylon Sdn Bhd.

Prosedur Penamatan Keahlian

1. Satu ‘Notis Amaran Penamatan‘ akan dihantar kepada pengedar yang didapati melanggar peraturan dengan kandungan berikut:

a) Sebab-sebab tindakan penamatan diambil;

b) Tarikh (jika ada) tempat dan tindakan kecuaian atau kesalahan yang menyebabkan penamatan hak keahliannya ; dan

c) Pengedar tersebut akan diberi tempoh 14 hari kerja untuk menjawab atau merayu sebab terhadap tindakan di atas.

d) Jika Pengedar tersebut gagal menjawab surat Syarikat selepas 14 hari maka Hak Keahliannya akan di gantungkan ataupun suratnya diterima tetapi tidak memberi sebab-sebab yang munasabah.

2. Satu “Notis menggantung Hak Keahlian” akan dihantar kepada pengedar tersebut,memberi masa 14 hari lagi untuk menjawab atau merayu. Notis ini dinyatakan dengan jelas bahawa jika pengedar berkenaan masih gagal lagi menjawab ataupun penjelasan tersebut tidak munasabah selepas 14 hari akan mengakibatkan Hak Keahliannya dibatalkan.

3. Jika surat yang dijawab oleh pengedar tersebut dan penjelasan adalah diterima oleh syarikat, maka syarikat akan membalas surat menyatakan penerimaan tersebut dan kes tersebut dianggap selesai.

4. Sebarang jawapan atau rayuan mesti dibuat secara bertulis dan dikemukakan kepada syarikat dalam tempoh yang ditentukan.

5. Kegagalan berbuat demikian akan dianggap sebagai persetujuan untuk penamatan tersebut.

6. Dalam kes penamatan,pengedar yang ditamatkan Hak Keahliannya secara serta merta dilarang mewakili diri mereka sebagai pengedar syarikat dan semua pengedar rangkaiannya akan terus naik kepada penaja atasannya.

Polisi Jualan & Waktu Urus Niaga

1. Pengedar wajib mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh AJL 1993 semasa membuat jualan atau berurusniaga.

2. Pengedar mestilah membawa Kad Keahlian yang sah sebagai pengenalan diri semasa membuat jualan dan rundingan.

3. Waktu berurusan yang ditetapkan adalah dari jam 10:30 pagi hingga jam 09:00 malam. Walau bagaimanapun, pengedar boleh menjalankan urusan pada bila-bila masa dengan persetujuan pelanggan.

4. Pengedar tidak dibenarkan mengganggu pelanggan di luar waktu urusniaga semasa cuti mingguan/am kecuali dengan persetujuan pihak pelanggan.

5. Penggedar perlu bersikap berterus terang dan jujur semasa mempromosikan produk, membuat penajaan atau berurusniaga.

6. Pengedar tidak dibenarkan memaksa pelanggan untuk membeli produk syarikat dan mesti meninggalkan rumah pelanggan dengan segera apabila diarah berbuat demikian.

7. Pengedar perlu memberikan tempoh bertenang selama sepuluh (10) hari bekerja kepada pengguna yang membeli produk syarikat yang bernilai RM300.00 ke atas dengan menggunakan borang pesanan yang disediakan.

8. Pengedar mestilah membekalkan resit kepada setiap pelanggan yang membeli produk Nova Babylon Sdn Bhd pada setiap jualan dengan mencatatkan kuantiti, harga, dan nama produk serta mencatatkan segala informasi keahlian pengedar seperti yang tertera pada resit pembelian syarikat.

9. Pengedar sama sekali tidak dibenarkan mendakwa dirinya sebagai wakil syarikat dalam apa jua urusan dan transaksi.

10. Pengedar, E-Mobile dan Stokis hendaklah menjual produk mengikut harga yang ditetapkan oleh pihak syarikat. Percanggahan harga adalah dianggap sebagai satu kesalahan yang serius dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mana-mana Pengedar, E-Mobile atau Stokis sehingga ke peringkat menamatkan kontrak keahlian dan status E-Mobile atau Stokis.

11. Pengedar, E-Mobile dan Stokis sama sekali tidak dibenarkan untuk melabelkan atau membungkus semula mana-mana produk yang dikeluarkan oleh Syarikat.

Polisi Beli Balik

1. Pihak Syarikat memberi jaminan pembelian balik produk-produk yang telah dijual kepada pengedar, E-Mobile atau Stokis yang dilantik oleh Syarikat di seluruh Malaysia dengan membayar harga sepenuhnya jika belum luput tempoh di label produk dan masih dalam keadaan baik dari segi kandungan produk dan pembungkusannya serta bersama pin atau E-Point.

2. Pembayaran balik tidak akan dilakukan oleh Syarikat sekiranya berlaku kerosakan ke atas produk yang disebabkan oleh kecuaian/kelalaian pihak E-Mobile, Stokis, dan pengedar serta tidak mempunyai pin atau E-Point.

3. Pembayaran balik akan dilakukan setelah pengedar melengkapkan Borang Tuntutan beserta dengan produk yang dikembalikan dalam tempoh bertenang sepuluh (10) hari.

Pesanan Produk & Pembayaran

1. Pengedar boleh membuat pesanan dan membeli produk dari mana-mana E-Mobile atau Stokis yang dilantik oleh Syarikat di seluruh Malaysia.

2. Setiap pembayaran hendaklah dibuat secara tunai, cek atau menggunakan kad kredit. Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat menggunakan “E-wallet” yang disediakan di dalam Sistem Online Syarikat.

Pembayaran Bonus, Intensif, & Kenaikan Pangkat

1. Kelayakan seorang Pengedar terhadap bonus, insentif dan kenaikan pangkat adalah seperti yang dinyatakan di dalam Pelan Pemasaran Nova Babylon Sdn Bhd – Pengedar akan menerima bonus dan insentif daripada jualan peribadi dan jualan rangkaian pengedaran dengan Nilai Mata (PV) dan mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

2. Setelah proses pengiraan bonus selesai, Syarikat akan mengeluarkan Penyata Bonus serta pembayaran insentif-insentifnya selewat- lewatnya 5 hb dalam bulan berikutnya.

3. Stokis , E-Mobile dan pengedar boleh menyemak Penyata Bonus Bulanan berdasarkan Pelan Pemasaran Nova Babylon Sdn Bhd dengan menggunakan Sistem Atas Talian (Online System) Nova Babylon Sdn Bhd.

4. Seorang Pengedar bertanggungjawab menyemak jumlah bonus dan insentif yang tertera dalam Penyata Bonusnya dan perlu memaklumkan Syarikat dalam tempoh EMPAT BELAS (14) hari jika terdapat sebarang pencanggahan. Sebarang aduan yang lewat dari tempoh ini tidak akan dilayan dan dianggap tidak sah dan terbatal.

5. Pembayaran bonus kepada Stokis adalah sebanyak 12% berdasarkan jumlah jualan Nilai Mata (PV).

6. Pembayaran Bonus kepada Stokis adalah sebanyak 12% berdasarkan jumlah jualan Nilai Mata (PV) melalui pembelian terus pengedar (bukan E-Mobile) dan 6% berdasarkan jumlah jualan Nilai Mata (PV) melalui pembelian terus E-Mobile.

7. Atas budibicara sepenuhnya, Syarikat berhak menahan atau menggantung sebarang pembayaran bonus dan insentif yang terakru kepada pengedar sekiranya:-

(a) Timbul pertikaian / perbalahan antara Pengedar dan Syarikat.

(b) Timbul pertikaian / perbalahan di antara para pengedar.

(c) Pengedar tidak mematuhi atau disyaki tidak mematuhi mana-mana bahagian Pelan Pemasaran Nova Babylon Sdn Bhd, Akta Jualan Langsung 1993 atau mana-mana peruntukan yang ditetapkan.

(d) Surat Tunjuk Sebab atau Notis Penggantungan telah dikeluarkan oleh Syarikat kepada pengedar.

(e) Hak Keahlian Pengedar telah berakhir atas sebab Penamatan Hak Pengedaran atas kemahuan sendiri, ditamatkan oleh Syarikat atau tempoh sah Hak Keahliannya luput.

Pejabat Operasi, Stokis, & E- Mobile

1. Pejabat Pengurusan dan Operasi Nova Babylon Sdn Bhd beralamat di No. 10, Jalan Genuang Perdana, Taman Genuang Perdana, 85000 Segamat, Johor Darul Takzim dan bertindak sebagai Ibu Pejabat serta Pusat Pengedaran Utama.

2. Pihak Syarikat berhak meluluskan mana-mana individu/ahli yang layak untuk dijadikan Pusat Pengedaran (Stokis), di setiap daerah dan negeri mengikut keperluan ahli setempat.

3. Syarikat akan mengedarkan produk kepada Stokis di setiap daerah dan negeri di Malaysia dan Stokis akan membekalkan keperluan produk tersebut kepada semua E-Mobile dan pengedar di kawasan masing-masing.

4. Stokis boleh membuat pembayaran secara tunai, melalui akaun bank atau E-Wallet kepada Ibu Pejabat manakala E-Mobile boleh membuat pembayaran secara tunai atau E-Wallet kepada Stokis dan pengedar hanya boleh membuat pembayaran secara tunai atau E-Wallet kepada Stokis atau E-Mobile sebelum penghantaran produk dilakukan.

5. Pihak Syarikat akan menghantar produk pesanan kepada semua Stokis dan E-Mobile dalam 7 hari selepas pembayaran dibuat atau pihak Stokis/E-Mobile boleh juga memgambil barangan terus dari Ibu Pejabat.

6. Stokis hendaklah bertapak di mana-mana Premis Perniagaan atau Rumah Kedai yang sesuai untuk dijadikan Pusat Pengedaran dan melengkapkan premis dengan segala kelengkapan seperti Kaunter Urusniaga dan Bilik Latihan/Seminar yang lengkap dengan peralatan dan keperluan yang sepatutnya.

7. Stokis tidak dibenarkan mempamerkan dan menjual produk-produk keluaran mana-mana syarikat jualan langsung yang lain di premis tersebut.

8. Syarikat akan melantik serta meluluskan permohonan mana-mana individu pengedar/organisasi/persatuan yang memohon menjadi Stokis pada bila-bila masa di seluruh negara mengikut persyaratan yang tertera dalam Pelan Pemasaran Nova Babylon Sdn Bhd.

9. Stokis dan E-Mobile hendaklah mematuhi setiap arahan Ibu Pejabat atau pihak pengurusan dari semasa ke semasa.

10. Hak taraf Stokis atau E-Mobile tidak boleh dipindahmilik melainkan dibenarkan oleh pihak pengurusan syarikat.

Hak Ahli & Stokis

1. Seorang Pengedar berhak untuk menerima bonus dan insentif pada setiap bulan apabila pengedar tersebut membuat pembelian minima 150 BV.

2. Pengedar bebas beroperasi secara bersendirian tanpa had atau hak terhadap sesuatu kawasan. Pengedar tidak mempunyai hak untuk mengisytiharkan kawasan-kawasan atau tempat-tempat tertentu sebagai kawasan/tempat mereka.

3. Pengedar boleh menganjurkan mana-mana aktiviti atau majlis/seminar/latihan yang sesuai di mana-mana tempat selagi tidak bertentangan dengan Akta Jualan Langsung 1993 atau bertentangan dengan mana-mana peraturan syarikat.

Hak - hak Syarikat

1. Pihak Syarikat berhak untuk memberi pelbagai kemudahan dan insentif dalam pelbagai bentuk kepada Pengedar atau E-Mobile atau Stokis jika difikirkan perlu dan juga menarik balik kemudahan dan insentif tersebut sekiranya mana-mana pengedar/ahli atau mana-mana Stokis atau mana-mana Stokis didapati melanggar mana-mana undang-undang atau peraturan-peraturan syarat perjanjian, kod etika dan Akta Jualan Langsung 1993.

2. Syarikat berhak membuat sebarang pindaan dan mengemaskini harga produk dalam dokumen urusniaga syarikat tanpa sebarang notis.

3. Syarikat berhak sepenuhnya mengubah, menambah, memotong atau menggantikan mana-mana peruntukan di dalam Pelan Pemasaran Nova Babylon Sdn Bhd pada bila-bila masa yang dirasakan wajar dengan mengumumkan melalui mana-mana media, penerbitan internet, surat pekeliling atau sebarang notis yang akan ditentukan oleh Syarikat mengikut budibicaranya. Seorang pengedar adalah terikat kepada setiap perubahan tersebut.

4. Ahli Lembaga Pengarah Syarikat berhak sepenuhnya untuk menentukan dasar dan polisi Syarikat.

5. Syarikat berhak menganjurkan mana-mana Majlis/Latihan/Seminar/Kursus atau sebarang yang berhubung kait dengan tatacara perjalanan jualan langsung yang ditentukan oleh Akta Jualan Langsung (AJL) 1993.

6. Syarikat akan hanya menanggung kos program @ aktiviti anjuran Syarikat sahaja.